15 Jun 2025, Kuala Lumpur - Dalam usaha memperkukuh ekosistem motosikal EV, GGR Motor turut menjalin kerjasama strategik dengan Bateriku.com untuk menyediakan khidmat selepas jualan dan penyelenggaraan di seluruh negara.
GGR Motor selaku pengeluar motosikal EV Bumiputera pertama dalam negara yang kini bergerak aktif memperluaskan rangkaiannya melalui kerjasama-kerjasama eksklusif seperti PMH Motor, Vectrix, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn. Bhd. (PLMM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TVET@KKDW.
Program ini juga menjadi pemangkin kepada penubuhan Pusat Latihan Kemahiran TVET yang bakal menyumbang kepada pembangunan modal insan negara, melahirkan tenaga mahir belia tempatan dalam bidang automotif hijau, khususnya melibatkan pemasangan, penyelenggaraan dan jualan motosikal EV.
Satu acara yang dinamakan EV Rider Malaysia bakal dianjurkan sebagai perhimpunan terbesar bagi komuniti, pengeluar, pengguna dan peminat motosikal elektrik di Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata acara ini bukan sekadar pelancaran produk, malah satu gerakan nasioanl ke arah mobiliti rendah karbon.
Antara objektif utama program ini termasuklah mempromosi Malaysia sebagai hab permotoran EV serantau, meningkatkan kesedaran teknologi EV dalam kalangan rakyat, merangsang pelancongan teknologi lestari dan memperluas peluang keusahawanan EV dalam kalangan belia dan lepasan TVET.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 28 Jun 2025 ini akan bermula pada jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang dengan sesi pelancaran, pameran, jaringan pelabur dan media. GGR Motor yakin EV Rider Malaysia bakal menjadi penanda aras baharu bagi acara permotoran elektrik di Asia Tenggara dan mampu bersaing di peringkat global. Di Bateriku pula, penyediaan perkhidmatan selepas penjualan dan penyelenggaraan akan terus dilaksanakan demi memperkukuh ekosistem motosikal EV.