Bateriku berbesar hati menjadi sebahagian daripada Karnival Mega JPJ MADANI 2026, seiring dengan pelbagai agensi dan jenama terkemuka seperti Heitech Padu, Touch ‘n Go, MyDigital ID serta pengeluar automotif seperti Proton, Perodua dan BYD. Penyertaan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem pengangkutan negara yang lebih moden dan berdaya saing.
Karnival Mega JPJ MADANI 2026: Bateriku Bersama Rakyat Memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Ke-80 JPJ
Karnival ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 24 April hingga 26 April 2026 di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Kolaborasi bersama Karnival Jom Heboh (KJH) menambahkan lagi kemeriahan acara dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman popular serta persembahan artis terkenal seperti Siti Nurhaliza dan Awie.
Dengan sasaran kehadiran seramai 300,000 pengunjung, karnival ini berjaya menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik sempena ulang tahun ke-80 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengisian Hari Pertama: Khutbah Khas Keselamatan Jalan Raya
Sambutan dimulakan dengan khutbah Jumaat khas di Masjid Ar-Rayyan Bandar Cassia, Batu Kawan yang bertemakan “Pematuhan Undang-undang Jalan Raya Amanah Nyawa, Tanggungjawab Iman”. Khutbah ini menekankan kepentingan sikap berhemah, disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya demi keselamatan bersama.

Perasmian oleh Perdana Menteri dan Pelancaran Aplikasi MyJPJ
Hari kedua menyaksikan majlis perasmian Karnival Mega JPJ Madani oleh Perdana Menteri Malaysia ke 10, YAB Dato' Seri Utama Anwar Ibrahim. Hadir sama YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, YB Datuk Haji Hasbi bin Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan, YBhg. Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, YBhg. Dato’ Aedy Fadly bin Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Ahli-Ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, rakan-rakan strategik kementerian dan jabatan serta seluruh warga JPJ.
Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau menegaskan kepentingan integriti, penambahbaikan perkhidmatan awam serta keperluan menangani cabaran semasa termasuk krisis tenaga global. Kerajaan MADANI turut menzahirkan komitmen melalui pelbagai inisiatif termasuk subsidi bahan api serta cadangan penurunan cukai jalan bagi kenderaan diesel.
Majlis ini turut menyaksikan:
- Penganugerahan Ikon Keselamatan Jalan Raya kepada Siti Nurhaliza
- Pelancaran versi baharu aplikasi MyJPJ yang lebih mesra pengguna
- Pengumuman pelbagai inisiatif pendigitalan JPJ
- Penjenamaan Semula Skuad Sahabat JPJ

Skuad Muda JPJ kini dijenamakan semula sebagai Skuad Sahabat JPJ, mencerminkan pendekatan lebih progresif yang menggabungkan advokasi, pendidikan dan teknologi.
Dalam masa yang sama, Awie diumumkan sebagai Ikon Skuad Sahabat JPJ bagi memperluas mesej keselamatan jalan raya kepada masyarakat.

Hari Ketiga: JPJ Fun Run dan Sambutan Luar Biasa Jualan Nombor Plat
Hari terakhir karnival dimeriahkan dengan acara JPJ Fun Run 2026 yang melibatkan seramai 2,500 peserta. Program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan antara warga JPJ dan masyarakat.
Selain itu, jualan baki nombor pendaftaran turut mendapat sambutan luar biasa. Pengunjung hadir seawal jam 6 pagi untuk mendapatkan nombor pilihan, menjadikan suasana di khemah jualan sangat meriah.

Kejayaan Karnival Mega JPJ MADANI 2026
Karnival ini melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya selepas tiga hari berlangsung. Pelbagai pengisian berimpak tinggi berjaya dilaksanakan termasuk perkhidmatan JPJ, advokasi keselamatan jalan raya dan inisiatif pendigitalan. Penganjuran ini secara langsung mendekatkan JPJ dengan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Bateriku berbesar hati dapat bersama-sama memeriahkan karnival ini melalui reruai interaktif yang menawarkan aktiviti Mystery Box dengan ganjaran baucar sehingga RM100 kepada pengunjung bertuah. Lebih daripada itu, Bateriku turut berperanan sebagai Roadside Assist sepanjang acara berlangsung. Pasukan BHero sentiasa bersedia membantu pengunjung yang mengalami masalah kenderaan di lokasi.

Komitmen Berterusan Demi Pengguna Jalan Raya
Penyertaan Bateriku dalam Karnival Mega JPJ MADANI 2026 mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong inisiatif kerajaan dan memastikan kesejahteraan pengguna jalan raya di Malaysia kekal terjamin.
Diharapkan kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, selari dengan tema sambutan “Setia Demi Pertiwi”.


