PUTRAJAYA, 4 Julai 2026 – Bateriku yang merupakan Rakan Usahawan PUNB sejak tahun 2016 telah menyertai Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2026: Transformasi Niaga, sebuah acara tahunan anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang menghimpunkan usahawan daripada pelbagai industri di seluruh negara.
Berlangsung selama dua hari bermula 4 hingga 5 Julai 2026 di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, Putrajaya, penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Bateriku dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan tempatan serta memperluaskan akses kepada penyelesaian mobiliti automotif yang lebih menyeluruh.
Bateriku Sertai SParK 2026, Perkukuh Komitmen Memacu Ekosistem Keusahawanan dan Mobiliti Malaysia
Bertemakan "Menerajui Perubahan, Membina Legasi", SParK 2026 dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu Forum Niaga dan SParK Bazar. Melalui penyertaan di SParK Bazar, Bateriku membuka ruang kepada para pengunjung yang terdiri daripada usahawan PUNB, komuniti perniagaan serta orang awam untuk mengenali dengan lebih dekat ekosistem perkhidmatan automotif yang dibangunkan syarikat.
Sepanjang pameran berlangsung, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan utama Bateriku termasuk penggantian bateri on demand, bantuan tepi jalan, rangkaian Pitstop di seluruh negara, serta penyelesaian automotif digital yang memudahkan pemilik kenderaan mendapatkan bantuan dengan lebih mudah.

Perdana Menteri Lancar SParK 2026
Majlis perasmian SParK 2026 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut mengumumkan kesediaan kerajaan untuk meningkatkan pembiayaan kepada PUNB sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030, tertakluk kepada prestasi agensi tersebut.
Pengumuman itu merupakan sebahagian daripada Kerangka Strategik R30, iaitu hala tuju jangka panjang PUNB yang menyasarkan kelulusan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi mempercepat pertumbuhan syarikat Bumiputera, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan keupayaan syarikat untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi serta memperkukuhkan rantaian bekalan negara.
Dalam usaha memperkasakan lagi sektor perusahaan, PUNB turut memperkenalkan tiga inisiatif baharu iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP, dan PROSPER GROW AUTO BIZ yang bertujuan memudahkan akses pembiayaan, mengukuhkan modal kerja serta menyokong sektor perniagaan berpotensi tinggi termasuk industri automotif.
Sebagai sebuah syarikat tempatan yang membangunkan ekosistem automotif berteraskan teknologi dan keusahawanan, Bateriku menyambut baik inisiatif-inisiatif ini yang diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk terus berkembang.

Forum Niaga Kongsi Perspektif Industri dan Masa Depan Perniagaan
Selepas majlis perasmian, Forum Niaga diteruskan dengan pelbagai sesi perkongsian daripada tokoh korporat dan usahawan terkenal negara. Antara panel yang berkongsi pandangan ialah Tan Sri Abdul Wahid Omar, Tan Sri Johan Jaaffar, Pinn Yang, pengasas Foodie Media, serta wakil usahawan daripada Pops Malaya dan Bayu Somerset.
Perkongsian yang berlangsung memberi fokus kepada cabaran semasa dunia perniagaan, kepentingan transformasi digital, pembangunan jenama, inovasi serta strategi untuk memastikan perusahaan tempatan terus kekal relevan dalam landskap ekonomi yang semakin kompetitif.
Bagi Bateriku, sesi seperti ini bukan sahaja menjadi platform pembelajaran, malah membuka peluang untuk membina jaringan strategik bersama komuniti usahawan yang berkongsi aspirasi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Bateriku Bersama Hot FM Zoomerz Meriahkan SParK 2026
Bersempena penganjuran SParK 2026, Bateriku turut menyertai Hot FM Zoomerz bagi mempromosikan simposium kepada masyarakat setempat melalui aktiviti luar yang diadakan di Pitstop Bateriku Putrajaya Presint 15.
Aktiviti tersebut menerima sambutan yang menggalakkan apabila pengunjung berpeluang menyertai pelbagai permainan interaktif dan menjawab soalan-soalan menarik. Para pemenang membawa pulang hadiah eksklusif daripada PUNB dan Hot FM, selain berpeluang menyertai cabutan Mystery Box Bateriku yang menawarkan baucar bernilai sehingga RM100.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap SParK 2026, malah mengukuhkan hubungan Bateriku dengan komuniti melalui pendekatan yang lebih santai, interaktif dan mesra pelanggan.

Memperkukuh Ekosistem Usahawan Tempatan
Penyertaan di SParK 2026 selari dengan misi Bateriku untuk terus menyokong pembangunan perusahaan tempatan melalui ekosistem automotif yang inklusif dan mampan. Selain menyediakan penyelesaian mobiliti kepada pemilik kenderaan, Bateriku turut membangunkan peluang keusahawanan menerusi rangkaian BPreneur, BHero, BBuddy dan Akademi Bateriku, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran dalam industri automotif.
Hari ini, Bateriku mengendalikan lebih daripada 260 Pitstop di seluruh Malaysia dan telah membantu lebih 1.5 juta pemilik kenderaan di seluruh negara. Melalui penyertaan dalam program seperti SParK 2026, syarikat terus memperkukuhkan peranannya sebagai rakan strategik kepada komuniti usahawan, agensi kerajaan dan pemain industri dalam membina masa depan mobiliti yang lebih inovatif dan mampan.

