1 Mei 2026, Kuala Lumpur - Suasana di Unifi Arena, Bukit Jalil bertukar meriah apabila lebih 15,000 pekerja daripada pelbagai sektor berhimpun bagi menyambut Hari Pekerja 2026. Dengan tema "Pekerja MADANI Kesuma Bangsa", sambutan tahun ini anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meletakkan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial sebagai teras utama pembangunan negara.
Bateriku, selaku peneraju ekosistem automotif tempatan, turut menerima undangan eksklusif untuk menyertai perbarisan kontinjen. Kehadiran ini adalah sebagai tanda penghormatan kepada ribuan kakitangan kami, terutamanya para wira gig BHero yang menjadi tulang belakang perkhidmatan kami di seluruh negara.
Sambutan Hari Pekerja 2026: Bateriku Bersama Raikan Pekerja di Unifi Arena Bukit Jalil

Seawal jam 6:30 pagi, lebih 50 kakitangan Bateriku dari pelbagai jabatan telah berkumpul di Ibu Pejabat Bukit Jelutong. Dengan semangat kebersamaan yang tinggi, kontinjen Bateriku bertolak ke lokasi acara menaiki bas khas hasil kerjasama Maraliner.
Setibanya di Unifi Arena, suasana sudah pun dipenuhi dengan ribuan peserta dari pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan berkanun. Sorakan, nyanyian dan laungan semangat daripada setiap kontinjen mencipta suasana yang cukup bertenaga dan menyatukan semua yang hadir di bawah satu matlamat, iaitu menghargai pekerja.
Sebelum majlis rasmi bermula, para hadirin telah dihiburkan dengan persembahan bertenaga daripada artis tersohor tanah air seperti M. Nasir, Khai Bahar, Intan Maya, dan Atmosfera.
Tepat jam 9:30 pagi, majlis menjadi lebih istimewa dengan ketibaan barisan kepimpinan negara yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri KESUMA dan Ketua Setiausaha Negara.

Aspirasi Pekerja MADANI dan Hala Tuju Negara
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Menteri KESUMA, Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan. Beliau menegaskan bahawa tema "Pekerja MADANI Kesuma Bangsa" adalah cerminan tekad kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemahiran modal insan terus diperkasakan. Malaysia mencatatkan beberapa pencapaian signifikan di dalam bidang pekerjaan. Antara fakta menarik yang dikongsi oleh beliau termasuklah:
- Pertumbuhan Ekonomi: Ekonomi negara berkembang sebanyak 5.2%.
- Kadar Pengangguran Rendah: Berjaya dikekalkan pada tahap 2.9%.
- Standard Perburuhan: Penambahbaikan cuti bersalin kepada 98 hari dan cuti bapa selama 7 hari.
- Perlindungan Gig: Perluasan perlindungan sosial yang kini merangkumi jutaan pekerja sektor tidak formal.

Amanat Hari Pekerja 2026 oleh Perdana Menteri
Kemuncak majlis adalah amanat daripada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri menekankan bahawa Hari Pekerja bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi simbol kebangkitan golongan pekerja yang suatu ketika dahulu berdepan tekanan dan ketidakadilan. Hari ini menjadi peringatan bahawa pembangunan negara tidak mungkin tercapai tanpa sumbangan mereka.
Beliau menegaskan bahawa dalam membina negara, tiada jurang antara golongan atasan dan bawahan. Sama ada menteri, petani, pekerja kilang atau anggota keselamatan, semuanya memainkan peranan penting dan saling melengkapi.
Pemerkasaan Perlindungan Sosial dan Kebajikan Ibu Bekerja
Kerajaan memperkenalkan langkah drastik untuk menyokong golongan wanita dalam tenaga kerja:
- Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB): Sokongan tambahan untuk membantu ibu kembali bekerja dengan fleksibel.
- Bantuan Cuti Tambahan: Cadangan bantuan kewangan untuk cuti tambahan sehingga 30 hari selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari bagi mengurangkan beban ibu bekerja.
Perlindungan PERKESO Luar Negara
Buat julung kalinya, perlindungan keselamatan sosial akan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Fokus utama diberikan kepada pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi menangani statistik kehilangan nyawa yang membimbangkan di laluan tersebut.

Reformasi Gaji Minimum dan Sektor Swasta
Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan terhadap taraf hidup pekerja:
- Gaji Minimum: Penegasan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 dan gesaan agar syarikat swasta yang mencatatkan keuntungan berbilion ringgit turut menaikkan gaji pekerja mereka.
- Syarikat Milik Kerajaan (GLC): Gaji minimum bagi syarikat GLC ditetapkan pada tahap RM3,000.
- Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) bernilai RM710 Juta
Bagi mendepani cabaran global, kerajaan melancarkan inisiatif PACE yang berteraskan empat pilar utama:
- Perlindungan sosial yang komprehensif.
- Latihan (TVET) dan penempatan kerja (Upskilling/Reskilling).
- Pemerkasaan pekerja gig melalui penubuhan Akta Kerja dan Suruhanjaya Gig.
- Pembangunan bakat muda dan PMKS (Suntikan dana RM5 bilion tambahan daripada BNM).
Perdana Menteri turut memberi arahan jelas kepada semua kementerian agar setiap inisiatif yang diumumkan dilaksanakan dengan segera. Laporan tindakan perlu disediakan dalam tempoh dua minggu, menandakan pendekatan kerajaan yang lebih tegas dan berorientasikan hasil.
Anugerah Hari Pekerja 2026
Sebagai tanda penghargaan, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan anugerah kepada individu dan organisasi yang menunjukkan prestasi luar biasa:
- Kategori Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Tertinggi): Dato' Sri Amran Bin Mohamed Zin (Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (Gred Turus III), Kementerian Luar Negara)
- Kategori Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Dan Profesional): Dr. Muhammad Hana Pizi Bin Abdullah (Pegawai Hal Ehwal Islam (Gred S12), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan).
- Kategori Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana) : Ts. Dr. Thinakaran a/l Narayanan (Penolong Pegawai Latihan Vokasional (Gred D7), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara)
- Kategori Swasta (Eksekutif): Encik Ariffin Bin Sabirin (Wasiyyah Shoppe Berhad)
- Kategori Swasta (Bukan Eksekutif): Puan Sayyidatul Aisyah Binti Sulaiman (ATSC)
- Kategori Syarikat Besar/GLC: Telekom Malaysia (TM)
- Kategori Media (Agensi): Radio Televisyen Malaysia (RTM)
- Kontinjen Terbaik: Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Komitmen Bateriku Terhadap Masa Depan Pekerja Gig
Penyertaan Bateriku dalam sambutan ini membuktikan sokongan padu kami terhadap aspirasi kerajaan. Kami percaya bahawa dengan perlindungan sosial yang lebih baik dan ekosistem yang inklusif, pekerja gig seperti BHero akan terus menjadi pemacu ekonomi MADANI.
Jika anda ingin membina kerjaya dalam persekitaran yang dinamik dan terjamin, sertai kami hari ini, mendaftar sebagai BHero atau peluang kerjaya di Bateriku.
Pekerja MADANI Kesuma Bangsa, Tema sambutan hari pekerja, Bateri kong di mana sahaja, Bateriku sentiasa ada.

