PUTRAJAYA, 31 Ogos 2026 – Bateriku menyertai Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya menerusi pembukaan reruai di kawasan parkir Jalan Tun Abdul Razak, Tapak Pasar Tani Lama, Presint 2.
Penyertaan ini merupakan satu pengalaman sulung Bateriku dalam sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya, menerusi jemputan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) selaku rakan strategik Kementerian Komunikasi sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Bateriku Sertai Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya
Kehadiran Bateriku di acara bersejarah ini menjadi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat Malaysia dari seluruh negara, selain memperkenalkan perkembangan terkini ekosistem automotif Bateriku kepada para pengunjung.

Lebih 100,000 Pengunjung Meriahkan Hari Kebangsaan di Putrajaya
Seawal pagi Isnin, 31 Ogos 2026, kawasan sekitar Dataran Putrajaya mula dipenuhi orang ramai yang hadir untuk mendapatkan lokasi terbaik bagi menyaksikan acara perbarisan, perarakan dan pelbagai persembahan sempena Hari Kebangsaan 2026. Sambutan kali ini menyaksikan kehadiran lebih 100,000 pengunjung yang membanjiri Putrajaya dalam suasana penuh semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, sambutan tahun ini menampilkan lebih 10,800 peserta yang terdiri daripada 76 kontinjen, selain melibatkan 328 aset, 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias. Antara kelainan yang dipersembahkan pada tahun ini termasuk penyertaan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 serta kontinjen Kluster Kelestarian Ekonomi Jingga.
Sambutan turut diserikan dengan persembahan pergendangan “Gema Inovasi MADANI” yang menggabungkan Rebana Inovasi dan Kompang Inovasi, melibatkan 150 peserta pergendangan serta 1,500 peserta grafik manusia. Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan istimewa penyanyi tanah air, Faizal Tahir, menerusi lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Aku Berjanji”.

Persembahan penutupan Rentak MADANI, Paluan Tradisi pula menghimpunkan seramai 2,350 peserta, menjadikan sambutan tahun ini antara acara Hari Kebangsaan yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan warna-warni.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda tiba sekitar jam 8 pagi dan disambut oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta YB Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil, Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, bersama isteri, Datin Seri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.
Setibanya di Pentas Diraja, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Kawalan Kehormatan Utama sebelum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan memeriksa perbarisan serta menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Majlis turut menyaksikan pertunjukan terbang lintas lima pesawat helikopter yang membawa bendera Malaysia serta bendera Angkatan Tentera Malaysia, selain persembahan jet-jet pejuang.

Bateriku Perkenal Produk Baru
Selepas selesai acara utama Sambutan Hari Kebangsaan, kawasan reruai mula dipenuhi pengunjung yang mengambil peluang untuk mendapatkan pelbagai hadiah, tawaran dan aktiviti daripada rakan-rakan strategik yang terlibat. Bagi Bateriku, penyertaan ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan beberapa produk automotif baharu kepada orang ramai.
Antaranya ialah Battery Monitor (BM6), peranti yang membantu pemilik kenderaan memantau keadaan bateri, serta Portable Battery Charger & Tester, yang direka untuk memberikan penyelesaian lebih praktikal kepada pengguna dalam penjagaan dan pemeriksaan bateri kenderaan. Selain memperkenalkan produk baharu, Bateriku turut mengedarkan baucar khas pembelian bateri kereta kepada pengunjung yang hadir ke reruai.
Kehadiran orang ramai menjadikan suasana di reruai Bateriku semakin meriah, khususnya apabila pengunjung turut mengambil peluang untuk mendapatkan pelbagai tawaran daripada rakan reruai lain seperti Mamee, BHPetrol, ZUS Coffee, Watsons, Gardenia dan banyak lagi.
Bagi Bateriku, interaksi secara bersemuka seperti ini amat bermakna kerana ia membolehkan jenama terus mendengar keperluan pengguna dan memperkenalkan penyelesaian automotif yang relevan kepada pemilik kenderaan di Malaysia.

12 Tahun Terus Membantu Rakyat Malaysia Keep Moving
Penyertaan Bateriku dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya turut menjadi satu lagi detik bermakna dalam perjalanan Bateriku yang kini memasuki tahun ke-12 beroperasi di Malaysia. Sepanjang perjalanan tersebut, sokongan rakyat Malaysia menjadi antara pemangkin utama kepada perkembangan Bateriku sebagai sebuah ekosistem automotif yang membantu memastikan pengguna terus bergerak dengan selamat.
Bateriku merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KWAP atas peluang dan kepercayaan yang diberikan untuk menyertai sambutan penuh bersejarah ini. Terima kasih juga kepada semua pengunjung yang meluangkan masa untuk singgah ke reruai Bateriku, mendapatkan maklumat mengenai produk dan perkhidmatan kami serta berkongsi kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bersama pasukan Bateriku.
Tidak dilupakan, penghargaan turut diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus memilih, menggunakan dan menyokong perkhidmatan Bateriku sepanjang 12 tahun perjalanan kami.
Bateriku akan terus komited untuk menyediakan penyelesaian automotif yang membantu rakyat Malaysia bergerak dengan lebih yakin, selamat dan lancar di seluruh negara.
We Keep You Moving
Selamat Hari Kebangsaan ke-69! Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.

