Bateriku telah menjadi salah satu yang berada di hadapan dalam membentuk masa depan pengangkutan elektrik (EV) di Malaysia di majlis Solar & Storage Live Malaysia 2026. Ketua Pegawai Perniagaan (CBO) En. Syed Faiz telah mengendalikan satu sesi perbincangan panel yang memfokuskan kepada kesiapsiagaan infrastruktur EV, polisi semasa, dan juga kapasiti grid nasional.
Panel bertajuk “Managing the EV Load: Policy, Tariffs, and Smart Charging Regulations in Malaysia” itu menampilkan IR. Mohd Razif bin Abdul Halim selaku Presiden Malaysia Zero Emission Vehicle Assocation (MyZEVA) dan juga En. ruce Sui Chung Yik, Ketua Perhubungan Industri, ChargehereEV Solution Sdn. Bhd. (ChargeSini) sebagai panel jemputan.

Tema utama perbincangan adalah memahami cabaran yang dihadapi dalam perkembangan landskap EV di Malaysia daripada segi pembekalan dan pengurusan tenaga, infrastruktur pengecasan, serta kawal selia pihak berkuasa.
Grid elektrik nasional mampu tampung permintaan mengecas EV
Sistem pembekalan elektrik Malaysia telah maju secara mendadak dalam dua dekad yang lepas. Contohnya, kapasiti pembekalan elektrik Malaysia telah naik daripada 104,000 GWh dalam tahun 2006 kepada lebih 211,000 GWh dalam tahun 2024. Ia melambangkan sistem pembekalan kita yang sentiasa berkembang seiring dengan revolusi industri dan pertumbuhan ekonomi.

Daripada sisi permintaan, penggunaan tenaga elektrik untuk tujuan pengangkutan sebenarnya amat kerdil. Dalam tahun 2022, sektor pengangkutan yang menggunakan 0.26% daripada keseluruhan penggunaan tenaga elektrik di Malaysia yang majoritinya didominasi oleh sektor industri dan komersial.
Ia selari dengan kenyataan dikeluarkan barisan panel yang landskap EV bertumbuh tapi impaknya terhadap permintaan tenaga adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan permintaan sektor lain. Mereka mengunjurkan yang EV hanya guna kurang daripada 5% kapasiti keseluruhan menjelang 2030, berdasarkan pertumbuhan semasa.
Cabaran pemilikan EV di Malaysia
Walaupun ruang pertumbuhan itu ada dan terbentang luas, salah cabaran utama yang dihadapi EV di Malaysia adalah untuk mengisi tenaga ke dalam tangki baterinya.
1. Infrastruktur lapuk bakal beri kesan pepasangan pengecas EV
Hal ini kerana, apabila dilihat menggunakan kanta mikro, sistem pembekalan elektrik setempat berdepan dengan tekanan disebabkan permintaan tenaga tertumpu pada sesuatu kawasan dan ia tak mampu ditampung oleh infrastruktur pembekalan sedia ada.
Contohnya, kawasan perbandaran yang padat menyebabkan sistem pembekalan tempatan gagal menampung permintaan tenaga apatah lagi dengan kawasan perbandaran lama yang ada pepasangan pembekalan seperti transformer dan kabel kuprum yang sudah lapuk. Itu belum lagi dimasukkan projek pembangunan perumahan bertingkat ke dalam persamaan.
Asasnya, landskap EV di Malaysia tak berdepan dengan masalah bekalan tenaga tapi lebih kepada pembekalan tenaga.
2. Perumahan bertingkat cabaran terbesar EV
Salah satu halangan terbesar EV adalah akses kepada pengecas untuk perumahan bertingkat seperti rumah apartment, flat, dan kondominium. Tak seperti pemilik kediaman atas tanah, penduduk di “rumah atas” hadapi masalah seperti:
- Kapasiti elektrik terhad bangunan.
- Keperluan kelulusan Badan Pengurusan Bersama (JMB).
- Sistem pembayaran bil tenaga yang kompleks.
- Polisi tambahan terhadap risiko kebakaran.
Barisan panel bersetuju yang merungkaikan halangan ini adalah keperluan kritikal jangka pendek sekiranya mahu merancakkan penggunaan EV kerana golongan “rumah atas” semakin mendominasi pengguna yang berada dalam Lembah Klang.
Selain kekangan infrastruktur, panel juga menyentuh perkara berkaitan kawal selia pihak berkuasa yang semakin kompleks lalu merencatkan penyediaan infrastruktur pengecasan EV awam.
3. Prosedur pemasangan yang kompeks dan renyah
Contohnya, untuk memasang satu pengecas EV di Malaysia, operator perlu melibatkan sekurang-kurangnya tiga hingga tujuh agensi berbeza, bergantung kepada jenis dan lokasi pengecas.
Paling minimum, mereka perlu bertemu dengan agensi seperti:
- Suruhanjaya Tenaga (ST) yang mengendalikan perlesenan kelengkapan mengecas.
- Kerajaan Tempatan (PBT) yang keluarkan permit dan luluskan pelan pembinaan
- Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengendalikan hal-hal pembekalan tenaga
Lain-lain agensi yang perli dilibatkan adalah seperti:
- Jabatan Bomba dan Pertahanan Malaysia (JBPM) untuk penilaian risiko kebakaran pepasangan pengecas DC komersial.
- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau Kementerian Kerja Raya untuk pepasangan di lebuh raya ataupun R&R
- Jabatan Tanah & Galian untuk memohon permit pengunaan tanah sementara (TOL)
- Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk pepasangan di kediaman berstatus strata.
Sudahnya, operator pengecas EV jadi kurang bersemangat untuk membina pengecas EV jenis DC di lokasi awam secara agresif.
Lain pula ceritanya dengan pengecas AC. Walaupun keperluan kawal selia pemasangan AC lebih ringkas, operator kurang berminat dengan pengecas jenis ini kerana potensi kadar keuntungan adalah sangat rendah untuk menjustifikasikan lebih banyak pelaburan.
Selain tips memasang AC untuk kegunaan peribadi di rumah, barisan panel juga menekankan kepentingan tarif berasaskan waktu (Time-of-Use) sebagai satu lagi tips untuk:
- optimumkan kos pemilikan EV terhadap pengguna
- kurangkan tekanan ke atas grid nasional pada waktu puncak
Konsep vehicle-to-grid (V2G) juga dibincangkan pada sudut potensi digunakan di Malaysia. Buat masa ini, ia masih berada di peringkat awal kesiapsiagaan kerana grid nasional masih mampu menampung keperluan. Namun di masa depan V2G adalah sesuatu yang wajar dipertimbangkan sama ada untuk beri lebih kelegaan kepada grid nasional serta sebagai insentif kepada pemilik EV untuk kurangkan kos tenaga EV mereka secara tak langsung.
Pelbagai faktor dipertimbang pengguna Malaysia dalam membeli EV
Perbincangan barisan panel ini menunjukkan yang perkembangan landskap EV di Malaysia bukan hanya bergantung kepada harga jualan EV di Malaysia walaupun ia adalah salah satu faktor penting yang dipertimbangkan majoriti pengguna Malaysia.
Situasi yang lebih realisitk adalah, ada juga golongan yang lebih daripada mampu untuk membeli EV tetapi direncatkan perkara-perkara lain. Ada yang fikir tentang di mana mereka akan mengecas EV nanti, perubahan gaya hidup pasca EV, dan juga kos pemilikan jangka panjang.
Peranan Bateriku dalam ekosistem EV
Penglibatan Bateriku dalam perbincangan panel Solar & Storage Live Malaysia 2026 mencerminkan komitmen organisasi ini dalam industri tenaga hijau dan pengangkutan elektrik. Menerusi pengelolaan perbincangan yang melibatkan pemain industri, penggarap polisi, dan pemegang taruh yang lain, Bateriku memacu pertumbuhan sihat landskap EV di Malaysia. Organisasi yang berminat untuk bekerjasama dalam teknologi hijau boleh menghubungi Bateriku.

