Bateriku (M) Sdn. Bhd., peneraju dalam perkhidmatan bantuan tepi jalan dan penyedia ekosistem bateri automotif di Malaysia, telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Econili Battery New Energy Sdn. Bhd., syarikat kitar semula bateri litium dan e-waste berlesen dan berteknologi tinggi.
Kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan sistem berskala bagi pengumpulan dan rawatan bateri litium terpakai melalui pendekatan mesra alam yang menyokong matlamat Malaysia ke arah ekonomi pekeliling dan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Menyempurnakan Rangkaian Perkhidmatan Bateriku
Bateriku telah berkembang pesat sejak penubuhannya pada tahun 2014. Kini, syarikat ini mengendalikan lebih daripada 220 Pitstop di seluruh negara, dengan rangkaian lebih 1,000 juruteknik mudah alih (BHero) serta rakan bengkel dan trak tunda (BBuddy). Dengan lebih 50,000 bateri dibekalkan setiap bulan dan pangkalan pelanggan melebihi 1.5 juta, jumlah sisa bateri yang dihasilkan amat signifikan.
Menerusi inisiatif Brigade Hijau, Bateriku memperkenalkan satu gerakan sistematik bagi pengumpulan dan pengurusan bateri terpakai secara bertanggungjawab, sejajar dengan amalan lestari dan keperluan pematuhan alam sekitar.
“Kami komited untuk menjadi peneraju dalam segmen ini kerana proses kitar semula merupakan komponen terakhir dalam ekosistem kami,” ujar Azarol Faizi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bateriku. “Selepas lebih 2 juta pelanggan dilayan dan lebih 50,000 bateri diedarkan setiap bulan, inisiatif Briged Hijau menjadi lambang komitmen kami terhadap masa depan hijau Malaysia.”

Keupayaan Teknologi Kitar Semula oleh Econili
Econili Battery New Energy Sdn. Bhd. mengendalikan fasiliti kitar semula berlesen penuh yang terletak di Ipoh, Perak. Fasiliti ini berkeupayaan memproses sisa elektronik berbahaya seperti bateri litium (SW103), mendapan logam (SW104), dan papan litar bercetak (SW110), mengikut peraturan alam sekitar yang ketat.
Menurut Encik Jayden Goh, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Econili:
“Di Econili, kami percaya inovasi dan kelestarian harus bergerak seiring. Kekuatan Bateriku sebagai rakan domestik dengan rangkaian operasi di seluruh negara menjadikan ini satu langkah strategik yang memberi impak besar kepada negara. Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk tempoh 10, 15 tahun atau lebih.”
Impak Alam Sekitar dan Sosial
Melalui kerjasama ini, bateri terpakai yang dikumpulkan akan melalui tiga peringkat pengurusan:
- Kitar Semula – Bahan bernilai seperti litium, nikel dan kobalt akan diekstrak dan digunakan semula dalam pelbagai aplikasi industri.
- Dibaik Pulih – Bateri yang masih mempunyai kapasiti boleh digunakan semula untuk penyimpanan tenaga atau disumbangkan untuk kegunaan sosial.
- Pelupusan Bertanggungjawab – Unit yang tidak boleh digunakan semula akan dilupuskan mengikut peraturan dan pematuhan kelestarian yang ditetapkan.
Inisiatif ini turut menyokong matlamat Malaysia dalam Pelan Induk Teknologi Hijau, Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), terutamanya dalam aspek penggunaan yang bertanggungjawab, tindakan terhadap perubahan iklim dan inovasi industri.

Kerangka Kerjasama Masa Hadapan
MoU ini berfungsi sebagai asas kepada usaha sama komersial yang bakal dikembangkan, termasuk:
- Penyelarasan logistik untuk pengumpulan e-waste
- Penyelidikan dan pembangunan (R&D) bateri hayat kedua
- Kesedaran komuniti berkaitan kitar semula dan e-waste
- Perkongsian data dan laporan impak suku tahunan
MoU ini berkuat kuasa selama dua (2) tahun dan akan menjadi asas kepada perancangan jangka panjang dalam memperluaskan inisiatif kitar semula bateri secara sistematik dan berskala.

Dengan kekuatan gabungan antara jaringan operasi Bateriku dan kepakaran teknologi Econili, kerjasama ini bukan sahaja akan memanfaatkan industri automotif tetapi turut menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi hijau negara.

