1 Oct 2026

MotorManiac by Bateriku Bawa Komuniti Automotif ke MATEC 2026

medium_Matec 2026 Pre Launch-1.webp

KUALA LUMPUR, 30 September 2026 — Bateriku akan meneruskan penglibatannya dalam MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026, dengan MotorManiac sebagai salah satu rakan penganjur acara yang menghimpunkan pemain industri, usahawan, institusi TVET, komuniti automotif dan jenama kenderaan dalam satu ekosistem.

MATEC 2026 yang bertemakan “Drive the Future” bakal berlangsung pada 27 hingga 29 November 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan sasaran lebih 300,000 pengunjung. Majlis Pra-Pelancaran MATEC 2026 telah berlangsung hari ini di BUSANA @ Menara MARA.

MotorManiac Rakan Penganjur MATEC 2026

Bagi Bateriku, penyertaan untuk tahun kedua berturut-turut ini bukan sekadar peluang untuk mempamerkan jenama dan penyelesaian automotif, tetapi menjadi ruang untuk memperluas jaringan dalam ekosistem selepas jualan automotif, mencari rakan niaga baharu serta membuka laluan kepada bakat TVET untuk menyertai industri.

MATEC 2026 memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu Automotif Masa Depan (Future Automotive), Kecemerlangan TVET (TVET Excellence) dan Mobiliti Elektrik (Electric Mobility).

Hubungkan Lebih Banyak Pemain Dalam Ekosistem Automotif

MATEC 2026 dijangka menghimpunkan sekitar 100 pempamer, merangkumi jenama kenderaan, pengeluar dan pembekal komponen, pemain alat ganti, aksesori, sistem aplikasi automotif serta agensi berkaitan.

Antara jenama automotif yang dijadualkan menyertai acara ini termasuk Daihatsu, Perodua, Ducati, BYD dan Honda, selain pelbagai pemain industri lain.

Segmen Autoshow pula akan menampilkan pameran dan jualan kenderaan daripada jenama seperti Proton, Perodua, BYD, Recon, KIA, Chery, MG dan GWM, manakala Motorshow akan mengetengahkan model dua roda daripada jenama seperti Modenas, Suzuki, Mforce, GT Max, GGR, Honda, Yamaha dan 33 Garage.

Dalam ruang Aksesori & Teknologi, Bateriku akan bersama pemain industri lain seperti Rimbunan Kuasa, Emerald Auto Parts, Mannol, PETRONAS, Lubrex, FT Garage dan Little Joe.

Penyertaan turut melibatkan agensi kerajaan dan institusi sokongan seperti PUNB, MARii dan SME Corp, institusi perbankan termasuk Bank Islam, CIMB, TIJARI dan RHB, serta institusi pendidikan MARA (IPMA) yang menawarkan program berkaitan TVET.

Kehadiran pelbagai pemain ini mewujudkan satu platform yang mempertemukan rantaian nilai automotif daripada pendidikan dan pembangunan bakat, produk serta teknologi sehingga kepada perkhidmatan selepas jualan.

Matec 2026 Pre Launch-2.webp

Pacu Masa Depan Ekosistem Automotif

Menurut Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, MATEC 2026 dirangka sebagai platform untuk memperluas penglibatan usahawan Bumiputera dalam rantaian nilai automotif yang semakin berkembang, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi dan automotif masa depan.

Beliau berkata, tumpuan MATEC tahun ini diperluaskan daripada mobiliti elektrik kepada skop “future automotive”, sejajar dengan perubahan teknologi dan perkembangan industri automotif di peringkat tempatan serta global.

“Kalau dulu tahun lepas kita memfokuskan kepada EV, tahun ini kita merasakan bahawa sudah tiba masanya bukan sahaja kita membicarakan keupayaan untuk menyertai sektor berteknologi tinggi khususnya EV, tetapi kita harus membicarakan berkenaan dengan ‘future automotive’ bukan sahaja untuk negara tetapi di peringkat global,” kata Dr. Asyraf Wajdi.

Matec 2026 Pre Launch-3.webp

Bateriku Cari Rakan Usahawan Untuk Otozon.com

Antara fokus utama Bateriku di MATEC 2026 adalah untuk memperkenalkan peluang penyertaan dalam otozon.com, platform digital yang dibangunkan bagi menghubungkan pelbagai pemain dalam ekosistem automotif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi, MATEC menjadi peluang untuk Bateriku bertemu lebih ramai usahawan bengkel dan pemain industri yang mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem otozon.com.

“Di event seperti ini, sebenarnya kita nak cuba cari usahawan-usahawan bengkel yang terlibat dalam ekosistem sama macam Bateriku untuk join platform otozon.com. Otozon ini ada empat pilar: servis dan repair bengkel, spare parts, aksesori, dan juga perkhidmatan seperti insurans. Jadi kita perlukan lagi ramai yang berminat untuk sertai ekosistem ini,” kata Azarol.

Matec 2026 Pre Launch-6.webp

Pendekatan ini mencerminkan evolusi Bateriku daripada penyedia perkhidmatan automotif kepada ekosistem yang menghubungkan pemilik kenderaan dengan lebih banyak perkhidmatan, produk dan pemain industri.

Melalui otozon.com, Bateriku melihat peluang untuk menghubungkan bengkel, pembekal alat ganti, pemain aksesori serta penyedia perkhidmatan automotif dalam satu rangkaian digital yang lebih luas.

TVET Sebagai Saluran Membina Tenaga Kerja Automotif Masa Depan

Selain jaringan perniagaan, Bateriku turut melihat MATEC sebagai platform untuk memperkukuh hubungan dengan institusi TVET MARA. Ketika majlis pra-pelancaran, MARA menekankan peranan rangkaian pendidikan TVET dalam menyediakan tenaga kerja yang relevan dengan perubahan industri automotif.

Daripada 375 institusi pendidikan MARA, sebanyak 270 institusi berteraskan TVET, dengan sebahagian daripadanya memberi tumpuan kepada bidang automotif. Laluan pendidikan turut merangkumi GIATMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) serta Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Automotive Technology (UniKL MIAT).

Bagi Bateriku, pembangunan bakat ini mempunyai kaitan langsung dengan keperluan industri.

“TVET semestinya penting. Macam Bateriku, kita perlukan ramai graduan TVET sebab kita banyak kemahiran teknikal di bawah. MATEC ini adalah platform terbaik untuk kita dapatkan talent, mengukuhkan kerjasama dengan MARA, dan memberi peluang kepada graduan TVET untuk menyertai ekosistem ini,” kata Azarol.

Graduan TVET boleh memainkan pelbagai peranan dalam ekosistem Bateriku, termasuk sebagai juruteknik bergerak, juruteknik bengkel dan tenaga teknikal.

Dengan perkembangan teknologi automotif, elektrifikasi dan sistem kenderaan yang semakin kompleks, keperluan terhadap tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal turut berkembang.

Atas sebab itu, hubungan antara industri dan institusi pendidikan menjadi penting untuk memastikan bakat yang dilahirkan mempunyai laluan yang jelas untuk memasuki dunia pekerjaan dan keusahawanan.

Dari Industri Automotif Kepada Komuniti dan Gaya Hidup

MATEC 2026 turut memperluas pengalaman pengunjung melangkaui pameran kenderaan dan perniagaan. Sebanyak 16 food truck serta gerai makanan dan minuman yang dikendalikan usahawan MARA akan turut mengambil bahagian, manakala segmen Hobi & Komuniti akan menampilkan aktiviti seperti Havoc Food Festival, Push Bike, Go-Kart dan trek Remote Control (RC).

Program turut merangkumi pocket talk, seminar, sesi perkongsian, Road Safety Clinics & Contests serta Meet and Greet bersama influencer automotif.

Bagi komuniti permotoran, antara tarikan yang dirancang termasuk pameran kereta kustom, perhimpunan RZ Members Club, Xmax Gathering & Motorcase, serta perhimpunan peminat dua roda melibatkan komuniti Ducati, Kawasaki dan Y15, di samping pelbagai kelab kereta tempatan.

MATEC 2026 juga akan menampilkan pertandingan KRC, CRCD, Mini 4WD dan Pit Stop, selain MATEC Fun Run.

Dari segi hiburan, pengunjung bakal menyaksikan persembahan NitroNation by Sentuhan Buskers, XPDC Pengyu, Akim & The Majistret, penampilan khas Awie, serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah untuk pengunjung.

Matec 2026 Pre Launch-5.webp

MotorManiac by Bateriku Jadi Rakan Penganjur MATEC 2026

Sebagai sebahagian daripada penglibatan Bateriku dalam MATEC 2026, MotorManiac turut memainkan peranan sebagai rakan penganjur bagi acara tersebut, khususnya dalam menggerakkan segmen car shows dan automotive gatherings.

Peranan ini membolehkan MotorManiac membawa pengalaman dan rangkaian komuniti automotifnya ke platform yang lebih besar, dengan menghimpunkan peminat kereta, kelab automotif dan komuniti permotoran sepanjang MATEC 2026.

Penglibatan MotorManiac meneruskan peranannya sebagai platform gaya hidup automotif yang menghubungkan budaya automotif dengan komuniti, gaya hidup dan acara. Pada September lalu, MotorManiac Festival 2026 menghimpunkan pelbagai komuniti automotif, motorsport, muzik dan budaya belia dalam edisi kelimanya di Kuala Lumpur.

Sebagai rakan penganjur MATEC 2026, MotorManiac akan membantu menghidupkan segmen komuniti dan permotoran melalui pelbagai aktiviti termasuk pameran kereta kustom, perhimpunan kelab dan komuniti automotif serta aktiviti berkaitan peminat kenderaan.

Kerjasama ini turut memperluaskan peranan MotorManiac dalam menghubungkan industri automotif dengan komuniti akar umbi, sekali gus memberikan lebih banyak ruang kepada kelab, pemilik kenderaan dan peminat automotif untuk mengambil bahagian dalam acara berskala nasional.

Matec 2026 Pre Launch-4.webp

Bateriku Melihat Ekosistem, Bukan Sekadar Acara

MATEC 2026 dijangka menjadi titik pertemuan antara pelbagai lapisan industri automotif daripada pengeluar kenderaan, pembekal alat ganti dan aksesori, institusi kewangan serta agensi kerajaan, sehinggalah kepada usahawan, institusi TVET dan komuniti peminat automotif.

Bagi Bateriku, penyertaan ini membuka tiga ruang utama: memperluas jaringan usahawan melalui otozon.com, membina saluran bakat TVET untuk keperluan tenaga teknikal, dan menghubungkan komuniti automotif melalui MotorManiac.

Dengan tema “Drive the Future”, MATEC 2026 juga selari dengan perubahan landskap automotif yang semakin merangkumi teknologi, elektrifikasi, digitalisasi dan model perniagaan baharu.

Bateriku akan membawa pendekatan yang sama ke MATEC 2026, bukan sekadar hadir sebagai pempamer, tetapi mengambil bahagian dalam membina hubungan antara perniagaan, bakat dan komuniti yang membentuk ekosistem automotif Malaysia.

MATEC 2026 akan berlangsung pada 27 hingga 29 November 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan masuk adalah percuma.

Avatar

Hazzim Nasir

Let’s share to:

Next Read