SHAH ALAM, 17 Ogos 2026 – Bateriku berbesar hati menerima kunjungan daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dato’ Jay Khairil Jeremy Abdullah.
Kunjungan ini memberi peluang kepada Bateriku untuk memperkenalkan perkembangan ekosistem automotif, keupayaan operasi serta perancangan pertumbuhan syarikat pada masa hadapan.
Daripada Teknologi EV hingga Operasi Seluruh Negara: KWAP Terokai Ekosistem Automotif Bateriku
Rombongan KWAP telah disambut oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Tuan Azarol Faizi, sebelum memulakan lawatan ke beberapa fasiliti utama yang menyokong ekosistem automotif Bateriku di seluruh negara.
Daripada Kenderaan Konvensional kepada EV: Melahirkan Tenaga Mahir Bersedia untuk Masa Hadapan
Kunjungan bermula di Akademi Bateriku, yang memperkenalkan pasukan KWAP kepada kemudahan serta keupayaan latihan teknikal Bateriku.
Akademi ini menyediakan latihan secara praktikal melibatkan teknologi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan hibrid dan kenderaan elektrik (EV), selaras dengan perubahan teknologi serta keperluan industri automotif Malaysia.
Seiring perkembangan teknologi kenderaan, Bateriku terus melabur dalam pembangunan kemahiran, peralatan dan keupayaan teknikal bagi menyokong pemilik kenderaan, bukan sahaja dalam aspek penggantian bateri konvensional tetapi juga perkhidmatan bantuan tepi jalan dan teknologi automotif baharu.
Antara perkembangan utama yang dikongsikan semasa kunjungan tersebut ialah pengukuhan keupayaan Bateriku dalam perkhidmatan selepas jualan EV menerusi latihan teknikal bersama SVOLT Energy Technology.

Wakil daripada Bateriku telah mengikuti latihan khusus di ibu pejabat SVOLT di China yang memberi tumpuan kepada diagnostik serta penyelesaian masalah pek bateri EV.
Susulan latihan tersebut, Bateriku telah mendapat pengiktirafan daripada SVOLT untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan bateri EV, sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat dalam menyokong model-model EV yang menggunakan teknologi bateri SVOLT.
Keupayaan ini merangkumi sokongan diagnostik bagi model terpilih, termasuk Proton e.MAS 7, dan menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha Bateriku menyediakan ekosistem automotif nasional yang bersedia mendepani pertumbuhan pemilikan EV di Malaysia.
Meneroka Ekosistem Automotif Bateriku yang Lebih Luas
Rombongan KWAP kemudiannya dibawa melawat BGarage dan MotorManiac HQ, yang memberikan gambaran mengenai pelbagai perniagaan serta inisiatif yang beroperasi dalam ekosistem Bateriku yang lebih luas.
Kunjungan ini turut memperlihatkan evolusi Bateriku daripada penyedia perkhidmatan penggantian bateri kereta kepada sebuah ekosistem automotif yang lebih menyeluruh, menghubungkan pemilik kenderaan dengan perkhidmatan bantuan tepi jalan, bengkel, produk automotif serta pelbagai perkhidmatan berkaitan mobiliti.

Pendekatan berasaskan ekosistem ini selari dengan visi asal pelaburan KWAP dalam Bateriku menerusi strategi Dana Perintis.
Pada Februari 2024, KWAP mengumumkan Bateriku sebagai salah satu daripada dua syarikat Malaysia yang menerima pelaburan secara langsung menerusi pelaburan pertama Dana Perintis. Strategi tersebut diwujudkan bagi mempercepatkan pembangunan ekosistem peringkat awal Malaysia melalui pelaburan dalam syarikat pemula serta dana modal teroka.
Memperkukuh Rangkaian Bekalan Seluruh Negara Menerusi Rangkaian Gudang Bateriku
Seterusnya rombongan di bawa mengunjungi Paddock 3, salah satu daripada gudang operasi Bateriku.
Dengan keluasan kira-kira 11,000 kaki persegi, fasiliti ini mempunyai kapasiti penyimpanan sekitar 30,000 unit bateri, dengan kadar penggunaan semasa melebihi 80%.
Gudang ini merupakan sebahagian daripada infrastruktur rantaian bekalan Bateriku yang kini merangkumi 11 gudang operasi di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala tiga lagi lokasi sedang dalam pembangunan, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Rangkaian ini memainkan peranan penting dalam memastikan ketersediaan serta pengedaran bateri automotif kepada pelanggan dan rakan kongsi di seluruh negara.
Ia turut menyokong portfolio jenama automotif Bateriku yang semakin berkembang, termasuk ASTRA Battery sebagai jenama bateri milik Bateriku, selain produk lain yang diedarkan menerusi ekosistem syarikat.
Pelaburan dalam infrastruktur fizikal ini mencerminkan fokus Bateriku untuk membina kapasiti operasi yang diperlukan bagi menyokong perniagaan automotif berskala nasional.
Kualiti, Penyelidikan dan Kitar Semula Bateri Secara Bertanggungjawab
Lawatan diteruskan ke Makmal Hijau, sebuah fasiliti Bateriku yang menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), kawalan kualiti serta proses berkaitan waranti bagi jenama bateri automotif syarikat.
Fasiliti ini merupakan komponen penting dalam pendekatan Bateriku untuk memastikan kualiti produk serta memperkukuh piawaian dalaman syarikat.
Antara produk utama yang diperkenalkan ialah ASTRA Battery, dimana kesemua 28 SKU ASTRA merangkumi rangkaian MF, EFB dan AGM telah memperoleh pensijilan berdasarkan piawaian SIRIM IEC 60095, sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat terhadap kualiti, keselamatan dan pematuhan produk.

Rombongan turut mengunjungi operasi kitar semula Briged Hijau di Paddock 2, yang mengumpul bateri automotif terpakai untuk tujuan kitar semula secara bertanggungjawab.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Bateriku untuk menangani isu sisa bateri melalui proses pengurusan akhir hayat yang lebih tersusun dan bertanggungjawab, selaras dengan fokus syarikat terhadap kelestarian dalam ekosistem automotif.
Pengalaman Pelanggan 24/7 di Ibu Pejabat Bateriku
Destinasi terakhir ialah ibu pejabat Bateriku di Bukit Jelutong, di mana rombongan diperkenalkan kepada Awesome Customer Experience (ACE), yang turut dikenali sebagai Customer Happiness Department.
Beroperasi 24/7, pasukan ini menjadi pusat sehenti bagi pelanggan yang memerlukan bantuan, menguruskan pertanyaan serta menyelaras kes melalui rangkaian perkhidmatan Bateriku di seluruh negara.

Kunjungan ini memberikan KWAP gambaran lebih dekat mengenai pasukan dan proses yang menyokong pengalaman pelanggan Bateriku, daripada penerimaan kes pelanggan sehingga penyelarasan bantuan yang bersesuaian menerusi ekosistem nasional syarikat.
Model perkhidmatan Bateriku berteraskan penyediaan bantuan automotif atas permintaan di seluruh Malaysia, disokong oleh rangkaian perkhidmatan serta keupayaan sokongan pelanggan 24/7.
Melangkah ke Hadapan: Memperkasa Ekosistem Automotif Bateriku
Kunjungan diakhiri dengan sesi perbincangan antara pasukan KWAP dan Bateriku mengenai perancangan syarikat, produk baharu serta peluang pertumbuhan pada masa hadapan.
Lebih daripada sekadar lawatan ke fasiliti, kunjungan ini menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hala tuju strategik Bateriku serta perkembangan ekosistem automotif syarikat, merangkumi pembangunan tenaga mahir, keupayaan perkhidmatan selepas jualan EV, infrastruktur rantaian bekalan, kualiti produk, kelestarian dan pengalaman pelanggan.

Bagi Bateriku, sesi ini turut mencerminkan kepentingan hubungan dan komunikasi berterusan bersama pelabur ketika syarikat terus memperluaskan operasi serta membangunkan keupayaan baharu.
Sebagai salah satu pelaburan sulung menerusi Dana Perintis KWAP, Bateriku kekal komited untuk membina ekosistem automotif yang mampan dan dipacu teknologi, sekali gus memberikan nilai kepada pelanggan, rakan kongsi, warga kerja serta industri mobiliti Malaysia secara keseluruhannya.
Kunjungan Dato’ Jay Khairil bersama pasukan KWAP ini menjadi satu lagi langkah bermakna dalam memperkukuh hubungan kedua-dua pihak, selain membuka ruang untuk menyelaraskan aspirasi pertumbuhan Bateriku serta peranannya dalam membentuk masa depan perkhidmatan automotif di Malaysia.

