Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Petronas telah bekerjasama melancarkan sebuah program yang bernama Pembangunan Usahawan Automotif MARA PETRONAS (PUMP). Kolaborasi ini dilaksanakan untuk meluaskan dan meningkatkan insentif industri automotif dalam kalangan syarikat tempatan dan bumiputera untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2021 ini bermula dengan usahawan automotif yang memfokuskan terhadap perkhidmatan bengkel kereta atau (Auto Expert). Kini, MARA dan Petronas Lubricant Marketing Malaysia akan melancarkan program yang sama untuk perkhidmatan berkaitan motorsikal atau (MotoExpert).
Pembangunan Usahawan Automotif MARA PETRONAS (PUMP) MotoExpert
Selepas melihat kejayaan PUMP AutoExpert, pelancaran PUMP MotoExpert kali ini bertujuan untuk:
- membantu usahawan dan pemilik bengkel motosikal menaik taraf operasi bengkel secara profesional
- mendapatkan akses kepada teknologi serta produk berkualiti tinggi
- meningkatkan imej dan jenama bengkel
- mewujudkan ekosistem perniagaan motosikal yang lebih kompetitif
- meningkatkan pendapatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan

Kenapa Program Ini Penting?
Kerjasama antara MARA dan Petronas Lubricant Marketing Malaysia (PLMM) bertujuan untuk memodenkan dan menstrukturkan bengkel motosikal tempatan dengan akses kepada minyak pelincir bertaraf antarabangsa dari Petronas, penambahbaikan imej dan standard perkhidmatan bengkel serta sokongan jangka panjang untuk pertumbuhan mampan.
Oleh itu, usahawan yang berminat boleh menyertai program ini dengan menepati syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut:
- Usahawan berumur 18 hingga 50 tahun
- Mempunyai bengkel motosikal yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam (6) bulan
- Perniagaan telah berdaftar dengan SSM dan beroperasi sekurang-kurangnya enam (6) bulan
- Jualan tahunan syarikat yang melebihi RM360,000 setahun
- Tidak disenarai hitam oleh MARA
Bateriku Sebagai Rakan Strategik
Akademi Bateriku
Akademi Bateriku yang dilancarkan pada tahun 2024, berperanan dalam memperkasa dan melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri automotif serta tenaga boleh diperbaharui. Lebih 1000 BHero dan 100 BPreneur telah dilatih serta akademi ini diiktiraf oleh Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Melalui Program PUMP MotoExpert, Akademi Bateriku sebagai rakan strategik menawarkan latihan-latihan berkaitan automotif dan juga kenderaan hibrid dan EV. Dengan kerangka SLDN dan JPK, ia menyediakan laluan kerjaya dan kemahiran untuk generasi usahawan baharu.

GGR Batteries by Bateriku
Produk GGR Batteries menggunakan teknologi gel Aquadag untuk menstabilkan prestasi bateri dan mengurangkan risiko kebocoran. Sesuai digunakan oleh bengkel MotoExpert untuk menawarkan produk premium kepada pelanggan.

CEO Petronas Lubricants Marketing Malaysia berkongsi visi beliau:
“Kami mahu bekerjasama terus dengan bengkel motosikal tempatan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan daya saing usahawan bumiputera. Walaupun PETRONAS ialah jenama tempatan, kami telah mengambil alih FL Selenia, sebuah pengeluar minyak pelincir global sejak tahun 1910. Kini kami telah menggabungkan teknologi mereka dalam produk kami. Minyak pelincir PETRONAS juga terbukti sebagai juara di setiap peringkat sukan permotoran.”
Beliau menambah:
“Ini bukan sekadar program pembiayaan. Ini adalah inisiatif menyeluruh untuk memperkukuh daya saing usahawan. Selepas menyertai program ini, purata peningkatan jualan mencecah 30%. Ada juga yang naik sehingga 7 kali ganda. Melalui sokongan pembangunan perniagaan, kami akan bantu peserta naik ke tahap lebih tinggi.”
Komitmen MARA
Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi menekankan perubahan struktur yang dilakukan:
"PUMP MotoExpert ini mensasarkan 30 peserta tetapi jika sambutannya baik, jumlah peserta akan ditambah. Sebelum ini, orang ramai melihat MARA sebagai institusi pendidikan seperti UiTM dan MRSM. Tetapi Sekarang, kami mengambil peranan lebih besar seperti institusi pembangunan ekonomi masyarakat bumiputera. Kaedah pendekatan kali ini berstruktur dengan melaksanakan temuduga dan perlu menjalani kursus."
Beliau turut menyebut:
“Kami mempunyai 270 institusi TVET yang fokus pada kemahiran automotif. MARA menyumbang kepada 30% tenaga kerja berkemahiran di Malaysia. Daripada lebih 15,000 bengkel di seleuruh negara, hanya 30% dimiliki bumiputera. Oleh itu, PUMP MotoExpert diwujudkan untuk mengubah realiti ini.”
Semoga program ini berjaya dilaksanakan dan misi untuk meningkatkan daya saing usahawan bumiputera di seluruh negara menghasilkan satu impak ekonomi yang terbaik.

