Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bersama-sama Majlis AManah Rakyat (MARA) telah melawat ibu pejabat Bateriku Bukit Jelutong untuk menerokai peluang kerjasama strategik. Peluang yang diintai adalah latihan, pekerjaan, dan keusahawanan dalam bidang automotif untuk golongan veteran dan juga yang bakal bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Delegasi telah melihat operasi beberapa bahagian Bateriku selain daripada ibu pejabat seperti Paddock, Akademi Bateriku, BGarage, dan Pitstop untuk memahami pengoperasian ekosistem lengkap jenama ini.
Pengalaman ketenteraan dimanfaatkan diluar tugasan
Tanggungjawab PERHEBAT adalah berat. Mereka membantu ahli ATM melangkaui kerjaya ketenteraan khususnya selepas tidak lagi berkhidmat daripada segi membangunkan kemahiran yang perlu diterjemah kepada peluang kerjaya dan pendapatan yang stabil apabila mereka tidak lagi aktif dalam ATM.

Perkara ini selari dengan keupayaan Bateriku dalam industri automotif apabila mereka mempunyai kemudahan latihan, rangkaian operasi, dan juga platform kerjaya dalam satu ekosistem. Ia membolehkan PERHEBAT menempatkan individu-individu yang berminat untuk ceburkan diri dalam industri automotif belajar.
3 laluan, 3 peluang
Daripada sesi perbincangan antara delegasi dan Bateriku, tiga laluan telah dikenal pasti.
Pertama adalah peluang latihan TVET di Akademi Bateriku seramai kira-kira 30 orang sebagai program rintis untuk memperlengkap peserta dengan ilmu menyelenggara kenderaan seperti penukaran bateri ataupun lain-lain modul yang dirasakan bersesuaian. Bukan sahaja beroleh ilmu, mereka juga akan terima pentauliahan daripada Jabatan Kemahiran Malaysia yang meningkatkan nilai mereka dalam pasaran kerja.

Kedua adalah peluang kerjaya dalam bidang automotif di Bateriku. Kepada yang ingin menerokai peluang membina kerjaya dalam sektor awam, program BHero sentiasa terbuka untuk individu seperti mereka. Sistem gig ini bolehkan mereka mengatur jadual kerja sendiri sambil beroleh pendapatan.

Ketiga adalah peluang keusahawanan. program BPreneur boleh dimanfaatkan PERHEBAT untuk mendorong veteran tentera membuka perniagaan mereka sendiri. Bukan sahaja mereka boleh menjana pendapatan sendiri, mereka turut boleh membuka peluang kerja pada orang lain dalam kelompok mereka.

Ekosistem bersepadu Bateriku menyediakan peluang kemajuan individu pada semua peringkat daripada latihan, amali, pendedahan industri, kerjaya, dan keusahawanan.
Veteran tentera yang sedang berhijrah ke dalam awam mempunyai potensi tinggi apabila nilai-nilai penting yang dipelajari sewaktu dalam perkhidmatan seperti disiplin dan ketokohan adalah relevan dan sangat diperlukan oleh Bateriku.

Bateriku sokong pembangunan modal insan warga tentera
Lawatan ini semestinya langkah penting ke arah mewujudkan peluang kerjasama lebih erat antara Bateriku, PERHEBAT, dan MARA. Buat delegasi, objektif mereka adalah untuk mengasah kemahiran warga tentera apabila tidak lagi berkhidmat supaya bakti tetap boleh ditabur. Untuk Baterik pula, disiplin tinggi yang telah subur dalam kalangan warga tentera adalah satu aset penting dan ramuan utama untuk berjaya.

