1 Julai 2026, Bangi - Koperasi Bateriku (KOBAT) telah sertai Program Bicara CEO: “Strategi Pemulihan - Membina Kota, Mengukuh Takhta,” anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMA). Program di Hotel Tenera, Bangi itu menghimpunkan ramai pemimpin-pemimpin koperasi daripada seluruh Malaysia yang datang untuk dengar pandangan daripada dua pembentang professional dalam bidang masing-masing.
Keberadaan KOBAT dalam program tersebut bukat sekadar sebagai pendedahan. Ia lebih kepada peluang untuk lebih rapat dengan pemain industri serta bertukar-tukar pendapat tentang cabaran yang dihadapi koperasi masa ini seperti mengekalkan margin keuntungan sihat, mempertingkat kesetiaan ahli, dan tekanan daripada modenisasi.
Ini antara dapatan yang diperoleh KOBAT yang turut berguna untuk koperasi lain di luar sana.

Bangunkan kota bersama En. Bujang Hussin
En. Bujang Hussin, CEO Menagemix Sdn. Bhd. dan juga seorang pelatih bertauliah Dale Carnegie membuka pembentangan dengan soalan yang mudah tapi tajam. Koperasi manakah yang yakin akan masih beroperasi selepas 5 tahun? Soalannya disusuli dengan senyap sunyi daripada peserta lantas memberikan jawapan yang jelas yang koperasi tidak bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.

Maka dengan sebab itu, dia perkenalkan kerangka kerja KOTA iaitu senarai semak praktikal yang membantu mengemudi koperasi dengan tangkas dan tidak semberono:
- Kepimpinan - Barisan ahli lembaga perlu memiliki visi serta wawasan komersial yang jelas dan bukan sekadar dilantik kerana popular. Penceramah memperjelas risiko sekiranya melantik kepimpinan yang hanya bercakap tapi tak tahu laksana menjadi punca utama kemerosotan koperasi.
- Operasi - Minimumkan birokrasi dan pelbagaikan sumber pendapatan. Dia memberi contoh beberapa koperasi yang berjaya pulih daripada krisis antaranya pivot daripada sektor pengangkutan kepada hospitaliti ataupun koperasi berasaskan pertanian yang tambah ekopelancongan ke dalam sumber pendapatan.
- Transformasi Digital - pengkalan data ahli, pelaporan kewangan digital, dan kaedah pembayaran moden (kod QR & e-Wallet) kini adalah keperluan. Ia bantu pemimpin ambil keputusan dengan pantas tanpa kekangan tugasan manual.
- Anggota Aktif - Kesetiaan tidak boleh diukur dengan hanya seseorang jadi ahli. Koperasi memerlukan komunikasi dua hala dan sentiasa memerlukan maklum balas ahli bagi menentukan hala tuju koperasi. Jadi, kepimpinan tidaklah “syok sendiri”.

Analogi lampu isyarat dikongsikan sebelum pembentangan disudahkan sebagai salah satu pelan tidakkan jangka pendek pemulihan koperasi. merah (diagnosis selama 30 hari), kuning (projek rintis sebelum diskalabesrkan), dan hijau (tindakan berskala penuh selepas projek rintis berjaya).
Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid: Kuasai sudut pandang makro
Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Ahli Ekonomi di Bank Muamalat Malaysia hadir untuk bawa peserta mengalihkan sudut pandang daripada melihat faktor dalam kepada faktor luaran yang boleh pengaruhi koperasi.

Antara topik yang disentuh adalah konflik disekitar Selat Hormuz yang menganggu trafik kapal tanki dan memberikan kesan langsung kepada inflasi global. Malaysia contohnya mendapatkan bekalan tenaga daripada laluan tersebut. Maka, sebarang kekacauan akan beri tekanan kepada ekonomi tempatan walaupun kerajaan ada sediakan subsidi.
Koperasi perlu bersedia berhadapan dengan sebarang perubahan dengan cara melakukan pemerhatian kepada negara jiran seperti Indonesia. Buat masa ini, kesan yang dirasai di Malaysia masih minimum kerana Bank Negara Malaysia masih mengekalkan kadar bunga, tak seperti jiran-jiran yang telah melakukan penyelarasan dengan lebih agresif.
Antara info menarik yang dikongsi adalah seperti pemberian bantuan tunai oleh kerajaan (STR/SARA) kini mengambil bahagian besar dalam pendapatan isi rumah. Ia situasi yang agak menggusarkan kerana apakah pendapatan daripada hasil kerja tidak mencukupi untuk tampung kehidupan seharian.

Kemudian, daripada segi output ekonomi, hanya satu pertiga sahaja hasil diterjemah kepada pembayaran gaji manakala selebihnya adalah dalam bentuk keuntungan modal, dividen kepada pemegang saham, sewa, dan sebagainya. Ia menggambarkan yang walaupun ekonomi meningkat hasilnya tidak dirasai golongan pekerja sebaliknya kepada pemilik perniagaan.
Ketiga adalah tentang masalah lambakan rumah bawah RM500,000 yang tak terjual memberi isyarat yang jurang pendapatan melebar dan organisasi seperti koperasi boleh ambil peluang. Dr.Afzanizam juga memberi bayangan yang struktur pencukaian seperti GST bakal kembali dan koperasi boleh melakukan perancangan lebih awal sekiranya berlaku kelak.

Apa yang KOBAT pelajari
Dua speaker dengan dua sudut pandang berbeza tapi objektif yang sama. Naik turun koperasi bukanlah satu sasaran yang abstrak jika perancangannya jelas. En. Bujang menekankan perubahan berskala kecil yang boleh direncana dengan pantas boleh menyumbang kepada pemulihan yang signifikan. Dr. Afzanizam pula menyarankan koperasi melihat lebih jauh untuk difaktorkan kepada perancangan hari ini.

