Syarikat teknologi di Malaysia perlukan lebih daripada modal untuk berkembang melangkaui pasaran domestik. Antara faktor yang dikenal pasti adalah seperti tadbir urus, akses pasaran, infrastruktur, serta sistem yang sedia untuk diskalabesarkan adalah antara kunci untuk perkembangan serantau.
Itu adalah antara intipati perbincangan bertajuk “Built to Scale: From Malaysia Innovation to Regional Growth” yang diadakan sewaktu Malaysia Private Capital Forum 3 September 2026. Sesi yang dianjurkan VentureTech itu membawakan tiga pengasas syarikat teknologi terkemuka Malaysia dimulakan dengan Azarol Faizi Bin Zakaria Ansari, pengasas & CEO Bateriku (M) Sdn. Bhd., diikuti Khairul Effendy Bin Dato’ Ahmad Dhman Huri, pengasas dan pengurus besar Nexagate Sdn. Bhd., dan akhir sekali Ts. Noor Mohd Helmi Bin Nong Hadzmi, pengasas dan CEO kumpulan IX Telecom Sdn. Bhd.
Sesi bicara itu telah dikendalikan oleh Nizam Mohamad Reza, Ketua Pegawai Operasi VentureTECH Sdn. Bhd.
Bateriku ingin tawarkan lebih daripada bantuan tepi jalan
Bagi Bateriku, sebuah ekosistem automotif saling berhubungan adalah teras kepada cita-cita mereka untuk memperluas perkhidmatan ke luar negeri. CEO Azarol katakan pada awalanya, Bateriku mengenal pasti bahawa pasaran servis bantuan tepi jalan masih lagi berada dalam keadaan serpih buat masa ini khususnya servis yang menjanjikan konsep “pasti & boleh jangka” (certainty & predictability).

Kini, Bateriku berjaya membina rangkaian meluas seluruh Malaysia yang terdiri daripada pekerja gig berwibawa, juruteknik terlatih, usahawan berpotensi, dan outlet fizikal yang menawarkan perkhidmatan melangkaui penukaran bateri secara on-demand, serta bantuan tepi jalan. Visi jangka panjang Bateriku adalah menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, platform penjualan komponen, dan lain-lain servis berkaitan pemilikan kenderaan.
Salah satu rancangan sedang direncana Bateriku, seperti yang dikongsikan CEO Azarol, adalah peluasan agresif ke dalam pasaran Indonesia, Thailand, Fillipina, dan Vietnam. Walau bagaimanpun, sifir yang diguna pakai di Malaysia mungkin tidak akan menjadi di pasaran tersebut. Oleh sebab itu, model minimum aset (asset-light model) adalah pendekatan yang dikenal pasti sesuai sambil dibantu ekosistem digital mereka yang sedia utuh.
Nexagate: AI ubah landskap keselamatan siber, kearah baik dan buruk
CEO Khairul mengatakan yang fokus Nexagate telah berubah kesan fenomena AI yang melanda masa ini khusunya dalam dunia keselamatan siber.

Syarikat yang menyediakan solusi keselamatan siber untuk aset-aset kritikal seperti bank, telekomunikasi dan agensi kerajaan itu mengatakan AI memudahkan penggodam mengenal pasti kerentanan dalam sistem untuk dieksploitasi. Ia menjadikan servis pertahanan serangan siber konvensional tak lagi cukup apabila pasaran memerlukan satu solusi yang komprehensif.
Maka, Nexagate membangunkan platform keselamatan mereka sendiri berasaskan AI dan kini mereka mempunyai pelanggan di 7 negara dan mempunyai pusat operasi di Malaysia dan di luar negara.
IX Telecom sasar jadi syarikat teknologi global
Lain ceritanya dengan IX Telecom, mereka telah sedia berkhidmat di lebih 200 negara dalam memberikan ketersambungan telekomunikasi kepada penyedia perkhidmatan.

Jadi, cabaran meraka buat masa ini adalah untuk menjadi jaguh serantau khususnya ASEAN dalam menjadi syarikat teknologi yang boleh menjadi jambatan kepada penyedia perkhidmatan luar mendapatkan perkhidmatan hasil daripada pemahaman mendalam mereka dalam landskap kawal selia tempatan.give
Daripada segi mempelbagaikan operasi, mereka kini mula membangunkan infrastruktur sendiri dan cuba menembusi pasaran enterprise dan pengguna biasa. CEO Helmi ingin memposisikan IX Telecom bukan sebagai syarikat malaysia yang ada perkhidmatan di peringkat global, sebaliknya sebuah syarikat teknologi global buatan Malaysia.
Nasihat untuk dibawa pulang pendengar
Dalam banyak-banyak idea, komen, dan hujah dibentangkan kesemua speaker, satu tema sepunya berjaya dicerap. Pertumbuhan boleh dipacu dengan dana, namun ia tidak boleh jadi jalan pintas untuk membangunkan sistem, kawal selia, bakat, infrastruktur, dan pasaran yang utuh. Buat syarikat di Malaysia yang ingin berkembang, cabaran yang dihadapi bukan sekadar mencari dana sebaliknya mempersiap operasi untuk menempuhi cabaran di luar Malaysia.

