Putrajaya, 30 April 2026 - Bateriku dan MyDigitalID telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk mengintegrasikan sistem pengesahan identiti kebangsaan itu ke dalam ekosistem automotif mereka. Selain sebagai pengesahan identiti, ia juga akan mempermudah proses mengakses himpunan perkhidmatan bantuan tepi jalan Bateriku kepada jutaan rakyat Malaysia. Pengguna dijangka boleh gunakan MyDigitalID sebagai kaedah log masuk aplikasi Bateriku seawal seawal tahun 2026.
Inisiatif ini digarap hasil kesedaran kedua-dua pihak akan kepentingan interaksi yang selamat dalam perkhidmatan digital terutamanya dalam servis kritikal seperti bantuan tepi jalan apabila bantuan yang pantas dan tangkas diperlukan. Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhariy bin Megat Tajuddin “Keselamatan siber tidak lagi hanya sekadar melindungi infrastruktur. Ia turut perlu melindungi pengguna, identiti mereka, dan keyakinan mereka terhadap dunia digital.”

Memperkukuh keyakinan terhadap perkhidmatan digital
Bateriku kini mengendalikan lebih 260 cawangan diseluruh negara dengan lebih 3,800 juruteknik bertauliah menyalurkan perkhidmatan seperti penukaran bateri, bantuan trak tunda, dan banyak lagi.

Bantuan tepi jalan Bateriku biasanya melibatkan interaksi antara pengguna dengan kakitangan yang mungkin pengguna tidak mengenali secara peribadi. Perkara ini menekankan betapa pentingnya sistem pengesahan identiti yang mantap untuk mengurangkan insiden seperti penyamaran dan penipuan yang akhirnya menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap sesuatu perkhidmatan.
Penggunaan MyDigitalID bolehkan Bateriku menyediakan perkhidmatan automotif mereka dengan selamat walaupun apabila beroperasi pada skala yang lebih besar pada masa yang akan datang.
Implementasi MyDigital ID dalam ekosistem Bateriku
Dalam perancangan, MyDigital ID akan menjadi sistem pengesahan indentiti dalam ekosistem Bateriku. Ia memastikan kedua-dua pengguna dan kakitangan penyedia perkhidmatan adalah individu yang ada rekod identitinya dengan pihak berkuasa. Perkara ini dijangka mempercepat urusan, lantas menambah baik pengalaman menggunakan servis Bateriku secara keseluruhan.
Pengerusi MyDigital ID, Raja Datto’ Nurshirwan Zainal Abidin ada menyebut tentang kepentingan tahap keyakinan tinggi terhadap sesuatu sistem digital, “sesuatu sistem tidaklah terus menjadi infrastruktur kebangsaan sejurus dilancarkan. Ia jadi sedemikian selepas pengguna mempercayainya, bergantung kepadanya, dan digunakan tanpa ragu-ragu”.

Daripada segi mempercepat akses pengguna terhadap perkhidmatan Bateriku, MyDigital ID menggunakan pengesahan kod QR yang pantas dan tak perlukan pengguna memasukkan kata laluan.
CEO MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim menjelaskan yang sistem mereka berhubung terus dengan pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara sebagai sumber ketulenan tunggal. Pihak MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data peribadi dan ia juga tak digunakan untuk gantikan MyKad sebaliknya sebagai jambatan pengesahan identiti daripada duna fizikal ke dunia maya.
Bateriku sokong visi ekonomi digital Malaysia
Bateriku adalah salah satu daripada 29 organisasi merentasi sektor kerajaan, kebajikan, pendidikan, digital, dan teknologi yang akan mengimplementasikan MyDigital ID dalam perkhidmatan masing-masing. Dengan lebih 11 juta pengguna berdaftar, rakyat Malaysia bakal beroleh akses kepada perkhidamtan-perkhidmatan penting dengan jaminan keselamatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa kebolehpercayaan masih lagi menjadi teras kepada kemajuan digital, kata beliau, “Kepercayaan tidak dibina melalui teknologi sahaja, ia disemai melalui disiplin dalam pelaksanaan, ketelusan dalam pengurusan, dan ketekalan dalam penyampaian kepada rakyat.”

