Sedang Bateriku memperluas operasinya, syarikat juga mengambil langkah memantapkan cara mengendali dan melindungi maklumat yang berlegar-legar di dalam organisasi. Salah satu inisiatif yang diambil adalah memperlengkap kakitangan dengan pengetahuan ISO 27001:2022 Information Security Management System (ISMS). Wakil daripada setiap jabatan telah dihantar sebagai langkah proaktif syarikat mewujudkan kesedaran dan kefahaman tentang keselamatan maklumat dalam perniagaan.

Kepentingan keselamatan adalah penting
Maklumat adalah aset kepada sesuatu organisasi. Bateriku mengendalikan banyak maklumat termasuklah yang sensitif seperti butiran pelanggan, rekod kakitangan, dokumen perniagaan, data operasi, dan maklumat yang dikongsikan dengan rakan niaga.
ISMS menyediakan panduan berstruktur cara sesuatu organisasi menimbang tara maklumat dengan risiko dan seterusnya mengambil langkah pengendalian yang sewajarnya. Fokus diberikan kepada memastikan maklumat yang diproses adalah terjaga kerahsiaannya, tepat, dan sedia diakses apabila diperlukan.

Turut ditekankan adalah keselamatan data bukanlah tanggungjawab jabatan IT semata-mata.
Menurut laporan IBM bertajuk Cost of a Data Breach Report 2025, elemen manusia terlibat dalam 95% daripada kebocoran data. Ia menunjukkan yang kakitangan dalam sesuatu organisasi memainkan peranan penting ke atas keselamatan secara keseluruhan.
Oleh sebab itu, setiap jabatan mempunyai wakil dalam latihan ISMS yang dijalankan. Staf berkomunikasi di dalam jabatan dan merentasi jabatan dengan cara dan peralatan berbeza setiap hari. Jenis maklumat yang berpindah-randah juga berbagai-bagai daripada yang umum hinggalah yang sensitif.

Persediaan pertumbuhan fasa seterusnya
Seiring dengan pertumbuhan syarikat, operasi juga menjadi semakin kompleks. Kakitangan lebih ramai, pelanggan bertambah, rakan niaga baharu, dan sistem canggih. Ia bermakna pertambahan ke atas risiko.
Berbanding menunggu insiden keselamatan berkaitan maklumat terjadi, Bateriku telah mengambil langkah awal untuk meningkatkan kesedaran dan memperkuat proses dalaman. Ia bukan lagi sekadar sesi latihan, sebaliknya sebahagian daripada pelaburan syarikat untuk mewujudkan kefahaman tentang kepentingan perlindungan maklumat ke atas setiap warga kerja.

Persediaan di akar umbi menunjukkan yang Bateriku secara keseluruhan sedang bersiap sedia untuk berkembang ke tahap yang seterusnya.
Apa maknanya terhadap pelanggan Bateriku?
Buat pelanggan Bateriku, amalan keselamatan maklumat yang kukuh bermakna syarikat mengambil serius tatacara pengendalian maklumat mereka. Apabila pelanggan menggunakan perkhidmatan Bateriku, mereka mungkin berkongsikan maklumat bernilai seperti nombor telefon, alamat, pendaftaran kereta, dan lain-lain.

Dengan cara itu, kepercayaan pelanggan boleh dibina apabila syarikat memproses lebih banyak maklumat pada masa akan datang.

