21 Januari 2026, Besut, Terengganu – Bateriku secara rasmi melancarkan Program Inkubator Bateriku yang pertama dengan kerjasama Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut, sebagai satu inisiatif strategik bagi memperkasa pembangunan tenaga kerja profesional Bumiputera serta membuka laluan awal kepada keusahawanan dalam industri automotif dan perkhidmatan mobiliti.
Bateriku Lancar Inkubator Pertama Bersama IKM Besut Bagi Melahirkan Tenaga Mahir dan Usahawan Bumiputera
Program ini mencerminkan komitmen berterusan Bateriku dan MARA dalam merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kerjasama Industri–Pendidikan Perkasa Bakat Bumiputera
Menurut Yang Berbahagia En. Mohd Farris bin Radzuan, Pengarah MARA Negeri Terengganu, kolaborasi strategik ini selari dengan aspirasi MARA untuk membangunkan ekosistem bakat Bumiputera yang mampan dan berdaya saing.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memperkukuh rantaian bakat Bumiputera melalui latihan yang relevan dengan keperluan industri. Program seperti Inkubator Bateriku memberi pendedahan sebenar kepada persekitaran kerja, peluang keusahawanan serta pembentukan minda profesional yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi yang semakin mencabar,” katanya.
Program Inkubator Bateriku: Latihan Sebenar dalam Persekitaran Operasi
Program Inkubator Bateriku memperkenalkan pembukaan sebuah Pitstop Bateriku yang beroperasi di bawah penyeliaan ibu pejabat Bateriku dan dikendalikan oleh pelajar terpilih IKM Besut. Pendekatan ini membolehkan pelajar memperoleh pengalaman industri secara langsung sambil meneruskan pengajian mereka.

Pelajar yang terlibat turut berpeluang menjadi BHero, iaitu juruteknik gig mudah alih Bateriku yang bukan sahaja terlatih dalam penggantian bateri kenderaan, malah dilengkapi kemahiran terpilih dalam bantuan tepi jalan. Model gig berasaskan komisen ini memberi peluang kepada pelajar untuk menjana pendapatan tambahan, seiring dengan pembangunan kemahiran profesional dan keusahawanan.
Yang Berusaha Ir. Ts. Abdul Athar bin Ibrahim, Pengarah Institut Kemahiran MARA Besut, berkata pendekatan ini memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembelajaran pelajar.
“Program Inkubator Bateriku membuka peluang unik kepada pelajar kami untuk mengaplikasikan pengetahuan teknikal dalam persekitaran operasi sebenar. Integrasi amalan industri secara langsung di kampus membolehkan kami melahirkan graduan yang lebih bersedia sebagai juruteknik mahir, usahawan dan tenaga profesional yang memenuhi keperluan pasaran,” jelas beliau.

Akademi Bateriku Perkukuh Modul Pembelajaran Berteraskan Industri
Sebagai sebahagian daripada pelancaran, Akademi Bateriku turut menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama IKM Besut bagi membangunkan modul latihan yang sejajar dengan keperluan industri terkini, termasuk aspek teknikal, digital dan perkhidmatan pelanggan.
Tc Nasrul Mokhtar, Pengurus Pembelajaran & Pembangunan Akademi Bateriku, menegaskan bahawa kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran jangka panjang.
“Melalui kerjasama ini, Akademi Bateriku berperanan memastikan modul latihan yang dibangunkan selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri. Fokus kami adalah untuk melengkapkan pelajar bukan sahaja dengan kemahiran teknikal, tetapi juga pendedahan digital, kecemerlangan perkhidmatan serta keupayaan keusahawanan bagi kelestarian kerjaya mereka,” katanya.
Pelancaran Rasmi dan Komitmen Mobiliti Masa Hadapan
Majlis pelancaran yang berlangsung di kampus IKM Besut turut disertai dengan pemeteraian LOI antara Akademi Bateriku dan IKM Besut, serta pelancaran stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) oleh JOMcharge, menandakan kesiapsiagaan institusi tersebut dalam menyokong agenda mobiliti masa hadapan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Giat MARA Besut, pengetua MRSM Kota Putra dan MRSM Besut, serta pegawai MARA Daerah Besut.

Inisiatif ini menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan pemain industri dalam memastikan tenaga kerja negara, khususnya Bumiputera, dilengkapi dengan kemahiran, pendedahan dan minda keusahawanan yang tepat untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

